Sunday, February 15, 2015

Pecahkan Tradisi Jika Ingin Pergi Lebih Jauh


15 FEB 2015 – Pada siri kedua Sessi Bimbingan Khas, PTRAF telah menerima pula kehadiran qari terkenal tanahair iaitu Ustaz Anuar bin Hasin. Beliau merupakan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2013 dan juga Juara Akademi Al-Quran (AQ) bagi musim ke-2. Ustaz Anuar kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. 

Ustaz Anuar telah memfokuskan sessi bimbingan beliau pada tiga teknik asas dalam memberikan persembahan semasa ujian tilawah Al-Quran iaitu:
1.       Teknik-teknik menyampaikan Isti'azah dan Basmalah
2.       Mempelbagaikan persembahan tarannum Bayati
3.       Mempelbagaikan persembahan tarannum Nahawand

"Kita jangan baca gaya sama macam orang lain...!"
Tinggalkan Yang Biasa…

Ustaz Anuar menekankan peripentingnya memberikan kepelbagaian dan memasukkan sedikit kreativiti dalam menyampaikan persembahan agar qari dan qariah dapat menjarak diri atau dilihat unik berbanding dengan peserta yang lain. Mempelbagaikan susunan harakat tarannum, memasukkan wuslah-wuslah yang sesuai dan juga ciri-ciri tarannum lain, seperti ikhtilal, akan menjadikan persembahan lebih menarik dan indah. Peserta perlu membebaskan diri dari terikat dengan “keterbiasaan” seperti yang dipelajari dalam asas bertarannum jika mahu pergi lebih jauh.

Ustaz Anuar juga menggalakkan para pelajar yang menhadiri sessi khas ini agar tidak memanjang-manjangkan harakat tarannum Bayati supaya tidak membazirkan masa persembahan. Ini kerana, menurut beliau, fungsi utama tarannum bayati adalah untuk memanaskan suara. Justeru, adalah memadai untuk mempersembahkan tarannum Bayati pada 5 hingga 6 harakat… dan sekiranya suara sudah pun panas, maka beralihlah ke tarannum seterusnya.

Beliau memaklumkan bahawa pada sistem penghakiman semasa tilawah, tiada lagi markah bonus diberikan bagi peserta yang mampu mempersembahkan bacaan dengan menggunakan keempat-empat tabaqat suara (Qarar, Nawa, Jawab, dan Jawab-ul-jawab). Cukup sekadar membaca menggunakan tiga jenis suara dan elakkan mana-mana tabaqat suara yang tidak mampu atau tidak selesa digunakan.

Diakhir sessi, Ustaz Anuar sekali lagi menyarankan agar para pelajar yang hadir untuk berani memecah tradisi dan berani mempersembahkan bacaan dengan mengadun dan menggunakan pelbagai teknik yang telah dipelajari.

Sesungguhnya siri bimbingan ini telah banyak mendedahkan para pelajar dari Kelas Potensi Negeri, dan juga para pelajar Kelas Tarannum Pengukuhan dengan ilmu yang sangat berharga. Pastinya, dengan curahan ilmu dan pengalaman Ustaz Anuar ini akan membawa para pelapis qari dan qariah Negeri Sembilan ini ke satu tahap yang lebih tinggi di masa hadapan… Insya Allah.


Sunday, February 8, 2015

Ustaz Hj. Hashim Kongsi Tips Atasi Gemuruh

Ustaz Hashim menerangkan kaedah sebutan yang tepat
08 FEB 2015 - PTRAF-NS amat bertuah kerana menerima kunjungan Ustaz Hj. Hashim bin Harun selaku pembimbing jemputan untuk para pelajar Kelas Potensi Negeri dan juga para pelajar dari Kelas Tarannum Pengukuhan. Ustaz Hj. Hashim yang kini berkhidmat di Institut Pendidikan Guru Malaysia di Bangi, Selangor, merupakan tokoh yang tidak asing lagi di negara kita ini khususnya di dalam bidang Tarannum Al-Quran dan Suara.

Sepanjang dua jam sessi beliau di PTRAF-NS, Ustaz Hashim telah mencurahkan pelbagai ilmu dan pengalaman beliau kepada para pelajar dalam menghadapi cabaran dan tekanan suasana semasa ujian tilawah Al-Quran. Beliau telah berkongsikan tips-tips mengurangkan gemuruh sebelum persembahan dan juga teknik lontaran suara yang tepat agar persembahan menjadi lebih mantap dan bertenaga.


Beberapa orang pelajar Kelas Potensi Negeri telah mengambil peluang memperdengarkan bacaan masing-masing untuk dinilai dan diperbaiki oleh Ustaz Hashim. Teguran dan saranan beliau tentunya bukan sahaja dapat diambil manafaat oleh pelajar terbabit, tetapi oleh seluruh hadirin yang telah menghadiri sessi ini.

Sessi bimbingan khas oleh Ustaz Hashim ini merupakan siri pertama dari beberapa siri yang telah dirancang oleh PTRAF-NS melalui Biro Agama & Pelajarannya dalam mendedahkan para pelapis Qari dan Qariah Negeri Sembilan kepada ilmu dan pengalaman dari Qari dan Qariah yang telah berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 


Jadual & Info Kelas

 
PTRAF-NS pada masa ini menawarkan kelas-kelas Tarannum Al-Quran dan kelas-kelas Hafazan yang dijalankan di pejabat persatuan. Kelas-kelas adalah dibimbing oleh para guru yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman luas di dalam bidang masing-masing. Penyertaan ke kelas-kelas ini adalah terbuka kepada semua yang berminat untuk mendalami ilmu-ilmu Al-Quran.

JADUAL KELAS

Berikut adalah senarai kelas-kelas yang disediakan:


KELAS
HARI
MASA
PEMBIMBING
1
Tarannum (Asas)
Isnin
8.00mlm – 10.00mlm
·   Ustazah Hjh. Norliza Tajudin
·   Ustazah Hjh. Rohani Abd. Shukor
2
Tarannum (Pengukuhan)
Ahad
11.30pg – 1.30ptg
·   Ust. Hj. Che Nor Saidin
·   Ust. Hj. Syahiruddin Daud
3
Kelas Potensi Negeri (Khas)
Ahad
9.00pg – 11.00pg
·   Ust. Hj. Shamsuddin Abdullah
4
Hafazan
Rabu
8.00mlm – 10.00mlm
·   Ust. Hj. Alauddien Alias


PERNYERTAAN & YURAN

Penyertaan ke kelas-kelas di atas adalah terbuka kepada semua (kecuali Kelas Potensi Negeri). Anda hanya perlu mempunyai asas membaca Al-Quran dan minat yang tinggi untuk meningkatkan kemahiran anda di dalam pembacaan dan hafazan Al-Quran.

Yuran yang ditetapkan hanyalah RM40.00 (Ringgit Malaysia Empat Puluh sahaja) sebulan bagi setiap kelas yang disertai (Kelas Asas, Pengukuhan, dan Hafazan).

Untuk pendaftaran, sila hubungi talian 010-3633275 atau datang terus ke pejabat PTRAF-NS di:

No 21, Tingkat Bawah, Jalan Komersial 8
Taman Komersial Senawang
70450 Seremban, Negeri Sembilan

Waktu urusan pejabat adalah seperti berikut:

HARI
MASA
AHAD
8.30pg – 1.00ptg
8.00mlm – 9.30mlm
ISNIN
8.00mlm – 9.30mlm
SELASA
8.30pg – 1.00ptg
RABU
8.00mlm – 9.30mlm
KHAMIS
8.30pg – 1.00ptg
JUMAAT
- tutup -
SABTU
- tutup -