Sunday, February 15, 2015

Pecahkan Tradisi Jika Ingin Pergi Lebih Jauh


15 FEB 2015 – Pada siri kedua Sessi Bimbingan Khas, PTRAF telah menerima pula kehadiran qari terkenal tanahair iaitu Ustaz Anuar bin Hasin. Beliau merupakan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2013 dan juga Juara Akademi Al-Quran (AQ) bagi musim ke-2. Ustaz Anuar kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. 

Ustaz Anuar telah memfokuskan sessi bimbingan beliau pada tiga teknik asas dalam memberikan persembahan semasa ujian tilawah Al-Quran iaitu:
1.       Teknik-teknik menyampaikan Isti'azah dan Basmalah
2.       Mempelbagaikan persembahan tarannum Bayati
3.       Mempelbagaikan persembahan tarannum Nahawand

"Kita jangan baca gaya sama macam orang lain...!"
Tinggalkan Yang Biasa…

Ustaz Anuar menekankan peripentingnya memberikan kepelbagaian dan memasukkan sedikit kreativiti dalam menyampaikan persembahan agar qari dan qariah dapat menjarak diri atau dilihat unik berbanding dengan peserta yang lain. Mempelbagaikan susunan harakat tarannum, memasukkan wuslah-wuslah yang sesuai dan juga ciri-ciri tarannum lain, seperti ikhtilal, akan menjadikan persembahan lebih menarik dan indah. Peserta perlu membebaskan diri dari terikat dengan “keterbiasaan” seperti yang dipelajari dalam asas bertarannum jika mahu pergi lebih jauh.

Ustaz Anuar juga menggalakkan para pelajar yang menhadiri sessi khas ini agar tidak memanjang-manjangkan harakat tarannum Bayati supaya tidak membazirkan masa persembahan. Ini kerana, menurut beliau, fungsi utama tarannum bayati adalah untuk memanaskan suara. Justeru, adalah memadai untuk mempersembahkan tarannum Bayati pada 5 hingga 6 harakat… dan sekiranya suara sudah pun panas, maka beralihlah ke tarannum seterusnya.

Beliau memaklumkan bahawa pada sistem penghakiman semasa tilawah, tiada lagi markah bonus diberikan bagi peserta yang mampu mempersembahkan bacaan dengan menggunakan keempat-empat tabaqat suara (Qarar, Nawa, Jawab, dan Jawab-ul-jawab). Cukup sekadar membaca menggunakan tiga jenis suara dan elakkan mana-mana tabaqat suara yang tidak mampu atau tidak selesa digunakan.

Diakhir sessi, Ustaz Anuar sekali lagi menyarankan agar para pelajar yang hadir untuk berani memecah tradisi dan berani mempersembahkan bacaan dengan mengadun dan menggunakan pelbagai teknik yang telah dipelajari.

Sesungguhnya siri bimbingan ini telah banyak mendedahkan para pelajar dari Kelas Potensi Negeri, dan juga para pelajar Kelas Tarannum Pengukuhan dengan ilmu yang sangat berharga. Pastinya, dengan curahan ilmu dan pengalaman Ustaz Anuar ini akan membawa para pelapis qari dan qariah Negeri Sembilan ini ke satu tahap yang lebih tinggi di masa hadapan… Insya Allah.


No comments:

Post a Comment