Saturday, March 28, 2015

Kesalahan Lazim Qari dan Qariah Semasa Tilawah



15 MAC 2015 – Slot keempat Sessi Bimbingan Khas untuk para Pelajar Potensi Negeri dan Kelas Pengukuhan telah diisi oleh Ustaz Amirrahman Abas. Beliau bukanlah asing kepada para qari dan qariah di Negeri Sembilan ini kerana Ustaz Amirrahman adalah Johan Menunggu di peringkat negeri Negeri Sembilan sejak tahun 2013 lagi. Malah Ustaz Amirrahman adalah antara qari yang sangat terkenal di peringkat nasional dan antarabangsa sejak beliau menjadi Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa pada tahun 2011.


Sedang berkongsikan tips dan pengalaman berguna
Dalam slot beliau ini, Ustaz Amirrahman bermula dengan menyentuh dan berkongsi tentang kesalahan-kesalahan lazim yang sering dilakukan oleh para qari dan qariah semasa membuat persembahan di majlis-majlis tilawah al-Quran. Antara kesalahan yang disentuh oleh beliau adalah:

  • Masalah sebutan huruf yang terlalu berat
  • Sebutan qalqalah yang berlebihan
  • Ketepatan dalam sebutan sifat-sifat huruf Isti’la dan Itbaq
  • Makhraj untuk huruf-huruf al-Jauf (seperti   , , )
  • Kemahiran pada memilih tempat Waqaf dan Ibtida’
  • Pemilihan jalan lagu yang hendak digunakan

Nota: Sila tonton video di bawah bagi mendengar ulasan lengkap Ustaz Amirrahman tentang kesilapan-kesilapan yang biasa dilakukan oleh para Qari dan Qariah semasa tilawah Al-Quran


Di samping itu beliau juga menggalakkan para qari dan qariah agar memperuntukkan masa setiap hari bagi melakukan latihan suara dan bacaan. Latihan yang kerap dan konsisten akan membolehkan kita tahu kemampuan tabaqat (tingkatan) suara di samping melatih penafasan yang betul.

Menurut beliau lagi, dalam menyampaikan persembahan tilawah Al-Quran setiap qari dan qariah perlulah mampu mempersembahkan sesuatu yang unik dan istimewa bagi membezakan diri dengan para peserta yang lain. Justeru, beliau amat menggalakkan para pelajar yang hadir untuk rajin mendengar bacaan dari qari-qari yang terkenal (seperti Sheikh Mustaffa Ismail) bagi mendapatkan burdah-burdah (bunga-bunga lagu) yang menarik dan cara penyampaian yang lebih kepada gaya kearaban (Lahjah Arab).

Ustaz Amirrahman juga telah memberikan peluang kepada para pelajar untuk memperdengarkan bacaan masing-masing untuk beliau perbaiki dan percantikan lagi. Sesungguhnya rata-rata pelajar yang telah menghadiri sessi ini telah dipukau dengan pelbagai alunan tarannum yang indah yang telah ditunjukkan oleh Ustaz Amirrahman, yang pastinya boleh diambil untuk dijadikan panduan dalam meningkatkan bacaan masing-masing.

Qariah Antarabangsa Kongsi Ilmu dan Pengalaman



08 MAC  2015 - Alhamdulillah… untuk siri ketiga Sessi Bimbingan Khas ini, PTRAF telah berjaya menjemput seorang Qariah Antarabangsa iaitu Hajjah Fasehah Hashim. Beliau merupakan Johan Qariah Antarabangsa bagi tahun 2001 dan kini menjadi salah seorang tenaga pengajar di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Hajjah Fasehah telah mula berjinak-jinak dengan tilawah Al-Quran sejak beliau berada dibangku sekolah lagi dan telah mewakili negeri Selangor ke peringkat kebangsaan untuk beberapa kali sebelum beliau bersara dari lapangan ini.

Hajjah Fasehah sedang mendengar bacaan para peserta
Untuk sessi khas ini Hajjah Fasehah telah menggunakan keseluruhan ruang masa yang diperuntukkan kepada beliau untuk menyemak dan membimbing para peserta dalam teknik membaca yang betul, juga alunan tarannum Al-Quran yang baik. Ramai peserta, khususnya para pelajar dari kelas Potensi Negeri telah diuji oleh beliau secara individu.

Hajjah Fasehah meluahkan rasa keinginannya untuk kembali ke PTRAF bagi berkongsikan lagi pengalaman dan ilmu yang ada. Beliau juga telah menyatakan rasa kekaguman beliau dengan usaha dan program yang telah dirintis oleh PTRAF, yang mana usaha seumpama ini tidak terdapat di negeri-negeri yang lain. Hajjah Fasehah juga tidak lupa meninggalkan pesan agar para pelajar rajin berlatih suara dan  pernafasan setiap pagi supaya dapat menghasilkan suara yang bersih, licin dan ringan.