15 MAC 2015 – Slot keempat Sessi Bimbingan Khas untuk para
Pelajar Potensi Negeri dan Kelas Pengukuhan telah diisi oleh Ustaz Amirrahman
Abas. Beliau bukanlah asing kepada para qari dan qariah di Negeri Sembilan ini kerana
Ustaz Amirrahman adalah Johan Menunggu di peringkat negeri Negeri Sembilan sejak
tahun 2013 lagi. Malah Ustaz Amirrahman adalah antara qari yang sangat terkenal
di peringkat nasional dan antarabangsa sejak beliau menjadi Johan Tilawah
Peringkat Antarabangsa pada tahun 2011.
Sedang berkongsikan tips dan pengalaman berguna |
Dalam slot beliau ini, Ustaz Amirrahman bermula dengan
menyentuh dan berkongsi tentang kesalahan-kesalahan lazim yang sering dilakukan
oleh para qari dan qariah semasa membuat persembahan di majlis-majlis tilawah
al-Quran. Antara kesalahan yang disentuh oleh beliau adalah:
- Masalah sebutan huruf yang terlalu berat
- Sebutan qalqalah yang berlebihan
- Ketepatan dalam sebutan sifat-sifat huruf Isti’la dan Itbaq
- Makhraj untuk huruf-huruf al-Jauf (seperti ﻱ , ﻭ , ﺍ )
- Kemahiran pada memilih tempat Waqaf dan Ibtida’
- Pemilihan jalan lagu yang hendak digunakan
Nota: Sila tonton video di bawah bagi mendengar ulasan
lengkap Ustaz Amirrahman tentang kesilapan-kesilapan yang biasa dilakukan oleh
para Qari dan Qariah semasa tilawah Al-Quran
Di samping itu beliau juga menggalakkan para qari dan qariah
agar memperuntukkan masa setiap hari bagi melakukan latihan suara dan bacaan. Latihan
yang kerap dan konsisten akan membolehkan kita tahu kemampuan tabaqat
(tingkatan) suara di samping melatih penafasan yang betul.
Menurut beliau lagi, dalam menyampaikan persembahan tilawah
Al-Quran setiap qari dan qariah perlulah mampu mempersembahkan sesuatu yang
unik dan istimewa bagi membezakan diri dengan para peserta yang lain. Justeru,
beliau amat menggalakkan para pelajar yang hadir untuk rajin mendengar bacaan
dari qari-qari yang terkenal (seperti Sheikh Mustaffa Ismail) bagi mendapatkan burdah-burdah
(bunga-bunga lagu) yang menarik dan cara penyampaian yang lebih kepada gaya
kearaban (Lahjah Arab).
Ustaz Amirrahman juga telah memberikan peluang kepada para
pelajar untuk memperdengarkan bacaan masing-masing untuk beliau perbaiki dan
percantikan lagi. Sesungguhnya rata-rata pelajar yang telah menghadiri sessi
ini telah dipukau dengan pelbagai alunan tarannum yang indah yang telah
ditunjukkan oleh Ustaz Amirrahman, yang pastinya boleh diambil untuk dijadikan
panduan dalam meningkatkan bacaan masing-masing.
No comments:
Post a Comment