Monday, December 21, 2015

Ujian Tilawah Al-Quran PTRAF NS 2015

19 DISEMBER 2015 - Ujian Tilawah Al-Quran PTRAF NS 2015 telah berlangsung selama dua hari, bermula dari 18 Disember sehingga 19 Disember 2015, bertempat di Kompleks Pusat Islam Rantau, Bandar Ekar, Seremban, Negeri Sembilan. Majlis ini merupakan ujian tilawah kali kedua yang dianjurkan oleh PTRAF NS, bagi pemilihan para pelajar terbaik untuk diserapkan ke latihan pusat Kelas Potensi Negeri untuk tahun 2016.

Johan Kategori Remaja Lelaki - Sodiq Ali Abdul Aziz (Port Dickson)

Pada majlis ini seramai 91 peserta terdiri dari 51 peserta dewasa dan 40 peserta remaja yang mewakili seluruh daerah di Negeri Sembilan telah menyertai ujian pada kali ini. Para peserta merupakan para pelajar PTRAF NS dari kelas-kelas Umum, Asas, Pengukuhan dan Potensi. Setiap peserta diadili dari segi Tajwid, Tarannum, Suara dan Fasohah.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Dato' Hj. Abu Ubaidah bin Dato' Hj Redza, Exco Kerajaan Negeri Sembilan, yang juga Penasihat kepada PTRAF NS. Majlis penutup telah diserikan dengan bacaan Al-Quran oleh johan kategori Remaja Lelaki dan persembahan qasidah dari kumpulan Qasidah PTRAF NS.


Sebanyak empat kategori telah di pertandingkan dan berikut adalah keputusan penuh sebagaimana yang telah diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Ustazah Hjh. Noorliza Hj. Tajudin:


KATEGORI REMAJA LELAKI
  1. Sodiq Ali Abdul Aziz – Port Dickson (94%)
  2. Muhammad Afiq Aiman bin Roslee – Port Dickson (94%)
  3. Muhammad Aidil Saari – Port Dickson (90%)
KATEGORI REMAJA PEREMPUAN
  1. Nurul Saadah Ahmad Luthfi – Tampin (92%)
  2. Nur Natasha Azeze Shariman Azeze - Seremban (90%)
  3. Fatini Haziyah binti Abd. Hamid – Seremban (88%)
KATEGORI DEWASA LELAKI
  1. Zainur Irsyadi Zainal – Jempol (93%)
  2. Mohd Hanis Abdul Aziz – Rembau (91%)
  3. Zakaria Mahadi – Seremban (89%)
KATEGORI DEWASA PEREMPUAN
  1. Nur Gayah Mohammad – Jempol (93%)
  2. Nur Aishah Hj Shamsudin - Seremban (93%)
  3. Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah - Port Dickson (92%)

Tahniah diucapkan kepada yang telah berjaya. Moga dapat membawa panji-panji PTRAF NS ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Gambar Kenangan: Jawatankuasa Urus Setia, Hakim, dan Penganjur

Sila klik untuk gambar-gambar di sekitar majlis Ujian Tilawah PTRAF NS 2015: https://goo.gl/photos/Zy42QGegrxDLxu6Q6

Sunday, December 13, 2015

Pengambilan 2016 Dibuka


Pengambilan para pelajar baru ke kelas-kelas Tahsin (Tarannum) Al-Quran di PTRAF NS kini dibuka untuk tahun 2016. Kelas pengajian yang ditawarkan adalah seperti berikut:
  • Kelas Asas Tarannum
  • Kelas Pengukuhan Tarannum
  • Kelas Asas Hafazan
  • Kelas Potensi (Khas)
  • Kelas Berzanji dan Marhaban
Pengambilan pelajar adalah dibuka kepada semua peringkat umur (kanak-kanak, remaja dan dewasa).

Sila hubungi kami di talian 010-363 3275 untuk maklumat lanjut, atau datang terus ke Pejabat PTRAF NS di:

No 24, Tingkat Bawah
Jalan Komersial 8, 
Taman Komersial Senawang
70450 Senawang, N. Sembilan
(belakang Giant Senawang) 

Tuesday, August 18, 2015

Majlis Sambutan Hari Raya PTRAF 2015


Majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri PTRAF telah julung kalinya diadakan pada Sabtu 09 Ogos 2015 yang lalu bertempat di hadapan pejabat persatuan dan telah dirasmikan oleh Penaung PTRAF sendiri, YB Dato' Hj. Abu Ubaidah bin Dato' Hj. Redza, yang juga merupakan Ahli Exco Kerajaan Negeri Sembilan.


Guru-guru PTRAF dan para VIP
Sambutan ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli PTRAF (dan keluarga) dari seluruh Negeri Sembilan untuk bertemu, berkenal-kenalan dan mengukuhkan jalinan silaturrahim di antara mereka. Majlis ini juga memberikan peluang kepada para ahli yang berada di luar Seremban untuk mengunjungi dan melihat sendiri pejabat pentadbiran dan pusat pengajian yang telah beroperasi sejak setahun yang lalu.

Di dalam perutusan Penaung PTRAF, beliau telah mengingatkan kepada semua agar terus dekat dengan Al-Quran dan menjadikannya sebagai tunggak di dalam kehidupan seharian. Mesej ini ditegaskan lagi oleh Pengerusi PTRAF, Ustaz Hj. Shamsuddin Abdullah, yang mahukan para ahli untuk terus berusaha untuk meningkatkan ilmu Al-Quran khususnya di bidang Tarannum. Beliau juga meminta para ahli untuk sama-sama membantu mempromosikan PTRAF dalam usaha persatuan untuk meningkatkan jumlah keahliannya yang kini seramai hampir 400 orang.

Ahli-ahli PTRAF bersama keluarga memeriahkan lagi majlis

Majlis sambutan hari raya ini, selain dihidangkan dengan pelbagai juadah yang enak, ia juga telah diserikan lagi dengan pelbagai acara seperti alunan bacaan Al-Quran oleh Adik Ridhuan Maun, persembahan nasyid dan qasidah oleh Sdr. Zakaria dan Sdr. Zainur Irsyadi dan persembahan khas selawat dari Kumpulan Marhaban Wanita PTRAF.
Paduan suara Zakaria & Irsyadi
Perkumpulan Marhaban & Berzanji Wanita PTRAF

Monday, July 27, 2015

Jemputan ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri PTRAF


Assalamualaikum,

Semua ahli, guru dan pelajar PTRAF-NS adalah dijemput untuk sama-sama memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya PTRAF-NS seperti berikut:

  • Tarikh: 09 Ogos 2015 (Ahad)
  • Masa: 09.00 pagi - 12.00 tengahari
  • Tempat: Hadapan Pejabat PTRAF-NS

Sebarang sumbangan kuih raya dan lain-lain amatlah dialu-alukan.

Jumpa semua di sana...!!!

Sunday, April 12, 2015

Keputusan Penuh Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri, Negeri Sembilan 1436H/2015

11 APRIL 2015 – Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri, Negeri Sembilan 1436H/2015 telah selamat dijalankan dengan penuh gilang gemilang semalam. Majlis yang telah berlangsung selama empat hari, bermula 8 April 2015 telah disempurnakan majlis penutupannya oleh DYMM  Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Sebanyak enam kategori telah di pertandingkan dan berikut adalah keputusan penuh sebagaimana yang telah diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Y. Bhg. Dato’ Selamat bin Paigo:

KATEGORI REMAJA LELAKI
  1. Muhammad Khairul Asyraaf bin Kamaludin – Seremban (86.30%)
  2. *Muhammad Amir Haziq bin Azis – Jempol (84.17%)
  3. *Muhammad Afiq Aiman bin Roslee – Port Dickson (80.83%)
KATEGORI REMAJA PEREMPUAN
Johan Qari & Qariah Negeri Sembilan
  1. *Nur Fatihah binti Zaid – Port Dickson (84.33%)
  2. *Fatini Haziyah binti Abd. Hamid – Seremban (83.50%)
  3. *Nurul Izzah binti Mohd Fauzi – Kuala Pilah (82.17%)
KATEGORI DEWASA LELAKI
  1. Mohamad Husaini bin Mahmur – Seremban (91.50%)
  2. *Abdul Muiz bin Ridzwan – Kuala Pilah (90.00%)
  3. Mohd Fairuz bin Husin – Jempol (85.83%)
KATEGORI DEWASA PEREMPUAN
  1. *Hjh. Noorliza binti Tajudin – Johan Menunggu (84.25%)
  2. *Hjh. Suriati binti Hj. Sabari – Kuala Pilah (83.50%)
  3. Norhidayah binti Ibrahim – Rembau (81.67%)
KATEGORI VETERAN LELAKI
  1.  Dr. Hj. Mohd Ghazali bin Abd. Rahman – Jelebu (88.17%)
  2. *Abu Kasim bin Mohd Ali – Tampin (75.83%)
  3. *Mohd Kasim bin Ismail – Jempol (72.00%)
KATEGORI VETERAN PEREMPUAN
  1. *Hjh. Faridah binti Ahmad – Tampin (79.17%)
  2. *Hjh. Siti Gayah binti Tahir – Rembau (77.97%)
  3. *Hjh. Rohani binti Abd. Shukor – Seremban (74.67%)

Nota: Nama yang bertanda (*) merupakan ahli PTRAF NS

Tahniah diucapkan kepada yang telah berjaya, khususnya kepada ahli-ahli PTRAF NS. Moga dapat membawa panji-panji PTRAF NS ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Saturday, March 28, 2015

Kesalahan Lazim Qari dan Qariah Semasa Tilawah



15 MAC 2015 – Slot keempat Sessi Bimbingan Khas untuk para Pelajar Potensi Negeri dan Kelas Pengukuhan telah diisi oleh Ustaz Amirrahman Abas. Beliau bukanlah asing kepada para qari dan qariah di Negeri Sembilan ini kerana Ustaz Amirrahman adalah Johan Menunggu di peringkat negeri Negeri Sembilan sejak tahun 2013 lagi. Malah Ustaz Amirrahman adalah antara qari yang sangat terkenal di peringkat nasional dan antarabangsa sejak beliau menjadi Johan Tilawah Peringkat Antarabangsa pada tahun 2011.


Sedang berkongsikan tips dan pengalaman berguna
Dalam slot beliau ini, Ustaz Amirrahman bermula dengan menyentuh dan berkongsi tentang kesalahan-kesalahan lazim yang sering dilakukan oleh para qari dan qariah semasa membuat persembahan di majlis-majlis tilawah al-Quran. Antara kesalahan yang disentuh oleh beliau adalah:

  • Masalah sebutan huruf yang terlalu berat
  • Sebutan qalqalah yang berlebihan
  • Ketepatan dalam sebutan sifat-sifat huruf Isti’la dan Itbaq
  • Makhraj untuk huruf-huruf al-Jauf (seperti   , , )
  • Kemahiran pada memilih tempat Waqaf dan Ibtida’
  • Pemilihan jalan lagu yang hendak digunakan

Nota: Sila tonton video di bawah bagi mendengar ulasan lengkap Ustaz Amirrahman tentang kesilapan-kesilapan yang biasa dilakukan oleh para Qari dan Qariah semasa tilawah Al-Quran


Di samping itu beliau juga menggalakkan para qari dan qariah agar memperuntukkan masa setiap hari bagi melakukan latihan suara dan bacaan. Latihan yang kerap dan konsisten akan membolehkan kita tahu kemampuan tabaqat (tingkatan) suara di samping melatih penafasan yang betul.

Menurut beliau lagi, dalam menyampaikan persembahan tilawah Al-Quran setiap qari dan qariah perlulah mampu mempersembahkan sesuatu yang unik dan istimewa bagi membezakan diri dengan para peserta yang lain. Justeru, beliau amat menggalakkan para pelajar yang hadir untuk rajin mendengar bacaan dari qari-qari yang terkenal (seperti Sheikh Mustaffa Ismail) bagi mendapatkan burdah-burdah (bunga-bunga lagu) yang menarik dan cara penyampaian yang lebih kepada gaya kearaban (Lahjah Arab).

Ustaz Amirrahman juga telah memberikan peluang kepada para pelajar untuk memperdengarkan bacaan masing-masing untuk beliau perbaiki dan percantikan lagi. Sesungguhnya rata-rata pelajar yang telah menghadiri sessi ini telah dipukau dengan pelbagai alunan tarannum yang indah yang telah ditunjukkan oleh Ustaz Amirrahman, yang pastinya boleh diambil untuk dijadikan panduan dalam meningkatkan bacaan masing-masing.

Qariah Antarabangsa Kongsi Ilmu dan Pengalaman



08 MAC  2015 - Alhamdulillah… untuk siri ketiga Sessi Bimbingan Khas ini, PTRAF telah berjaya menjemput seorang Qariah Antarabangsa iaitu Hajjah Fasehah Hashim. Beliau merupakan Johan Qariah Antarabangsa bagi tahun 2001 dan kini menjadi salah seorang tenaga pengajar di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Hajjah Fasehah telah mula berjinak-jinak dengan tilawah Al-Quran sejak beliau berada dibangku sekolah lagi dan telah mewakili negeri Selangor ke peringkat kebangsaan untuk beberapa kali sebelum beliau bersara dari lapangan ini.

Hajjah Fasehah sedang mendengar bacaan para peserta
Untuk sessi khas ini Hajjah Fasehah telah menggunakan keseluruhan ruang masa yang diperuntukkan kepada beliau untuk menyemak dan membimbing para peserta dalam teknik membaca yang betul, juga alunan tarannum Al-Quran yang baik. Ramai peserta, khususnya para pelajar dari kelas Potensi Negeri telah diuji oleh beliau secara individu.

Hajjah Fasehah meluahkan rasa keinginannya untuk kembali ke PTRAF bagi berkongsikan lagi pengalaman dan ilmu yang ada. Beliau juga telah menyatakan rasa kekaguman beliau dengan usaha dan program yang telah dirintis oleh PTRAF, yang mana usaha seumpama ini tidak terdapat di negeri-negeri yang lain. Hajjah Fasehah juga tidak lupa meninggalkan pesan agar para pelajar rajin berlatih suara dan  pernafasan setiap pagi supaya dapat menghasilkan suara yang bersih, licin dan ringan.

Sunday, February 15, 2015

Pecahkan Tradisi Jika Ingin Pergi Lebih Jauh


15 FEB 2015 – Pada siri kedua Sessi Bimbingan Khas, PTRAF telah menerima pula kehadiran qari terkenal tanahair iaitu Ustaz Anuar bin Hasin. Beliau merupakan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2013 dan juga Juara Akademi Al-Quran (AQ) bagi musim ke-2. Ustaz Anuar kini berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. 

Ustaz Anuar telah memfokuskan sessi bimbingan beliau pada tiga teknik asas dalam memberikan persembahan semasa ujian tilawah Al-Quran iaitu:
1.       Teknik-teknik menyampaikan Isti'azah dan Basmalah
2.       Mempelbagaikan persembahan tarannum Bayati
3.       Mempelbagaikan persembahan tarannum Nahawand

"Kita jangan baca gaya sama macam orang lain...!"
Tinggalkan Yang Biasa…

Ustaz Anuar menekankan peripentingnya memberikan kepelbagaian dan memasukkan sedikit kreativiti dalam menyampaikan persembahan agar qari dan qariah dapat menjarak diri atau dilihat unik berbanding dengan peserta yang lain. Mempelbagaikan susunan harakat tarannum, memasukkan wuslah-wuslah yang sesuai dan juga ciri-ciri tarannum lain, seperti ikhtilal, akan menjadikan persembahan lebih menarik dan indah. Peserta perlu membebaskan diri dari terikat dengan “keterbiasaan” seperti yang dipelajari dalam asas bertarannum jika mahu pergi lebih jauh.

Ustaz Anuar juga menggalakkan para pelajar yang menhadiri sessi khas ini agar tidak memanjang-manjangkan harakat tarannum Bayati supaya tidak membazirkan masa persembahan. Ini kerana, menurut beliau, fungsi utama tarannum bayati adalah untuk memanaskan suara. Justeru, adalah memadai untuk mempersembahkan tarannum Bayati pada 5 hingga 6 harakat… dan sekiranya suara sudah pun panas, maka beralihlah ke tarannum seterusnya.

Beliau memaklumkan bahawa pada sistem penghakiman semasa tilawah, tiada lagi markah bonus diberikan bagi peserta yang mampu mempersembahkan bacaan dengan menggunakan keempat-empat tabaqat suara (Qarar, Nawa, Jawab, dan Jawab-ul-jawab). Cukup sekadar membaca menggunakan tiga jenis suara dan elakkan mana-mana tabaqat suara yang tidak mampu atau tidak selesa digunakan.

Diakhir sessi, Ustaz Anuar sekali lagi menyarankan agar para pelajar yang hadir untuk berani memecah tradisi dan berani mempersembahkan bacaan dengan mengadun dan menggunakan pelbagai teknik yang telah dipelajari.

Sesungguhnya siri bimbingan ini telah banyak mendedahkan para pelajar dari Kelas Potensi Negeri, dan juga para pelajar Kelas Tarannum Pengukuhan dengan ilmu yang sangat berharga. Pastinya, dengan curahan ilmu dan pengalaman Ustaz Anuar ini akan membawa para pelapis qari dan qariah Negeri Sembilan ini ke satu tahap yang lebih tinggi di masa hadapan… Insya Allah.


Sunday, February 8, 2015

Ustaz Hj. Hashim Kongsi Tips Atasi Gemuruh

Ustaz Hashim menerangkan kaedah sebutan yang tepat
08 FEB 2015 - PTRAF-NS amat bertuah kerana menerima kunjungan Ustaz Hj. Hashim bin Harun selaku pembimbing jemputan untuk para pelajar Kelas Potensi Negeri dan juga para pelajar dari Kelas Tarannum Pengukuhan. Ustaz Hj. Hashim yang kini berkhidmat di Institut Pendidikan Guru Malaysia di Bangi, Selangor, merupakan tokoh yang tidak asing lagi di negara kita ini khususnya di dalam bidang Tarannum Al-Quran dan Suara.

Sepanjang dua jam sessi beliau di PTRAF-NS, Ustaz Hashim telah mencurahkan pelbagai ilmu dan pengalaman beliau kepada para pelajar dalam menghadapi cabaran dan tekanan suasana semasa ujian tilawah Al-Quran. Beliau telah berkongsikan tips-tips mengurangkan gemuruh sebelum persembahan dan juga teknik lontaran suara yang tepat agar persembahan menjadi lebih mantap dan bertenaga.


Beberapa orang pelajar Kelas Potensi Negeri telah mengambil peluang memperdengarkan bacaan masing-masing untuk dinilai dan diperbaiki oleh Ustaz Hashim. Teguran dan saranan beliau tentunya bukan sahaja dapat diambil manafaat oleh pelajar terbabit, tetapi oleh seluruh hadirin yang telah menghadiri sessi ini.

Sessi bimbingan khas oleh Ustaz Hashim ini merupakan siri pertama dari beberapa siri yang telah dirancang oleh PTRAF-NS melalui Biro Agama & Pelajarannya dalam mendedahkan para pelapis Qari dan Qariah Negeri Sembilan kepada ilmu dan pengalaman dari Qari dan Qariah yang telah berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.